Khamis, 18 Ogos 2011

Kasih ALLAH


Bila hamba Allah mengucapkan Laillahaillallah maka keluarlah dari
mulutnya yang menggucapkan perkataan yang mulia itu seekor burung hijau.
Maka burung hijau akan naik ke Arasy Allah dan berkicauanlah
burung-burung tadi dibawah Arasy. Melihat kejadian itu malaikat yang
menjaga Arasy Allah memerintahkan kepada burung-burung tadi supaya diam
tetapi tidak dipatuhi oleh mereka. Oleh kerana arahan yang diberi tidak
dipatuhi, malaikat yang menjaga Arasy mengadap Allah SWT menceritakan
kejadian itu. Maka Allah memerintahkan malaikat tersebut supaya
memberitahu burung-burung supaya diam. Apabila perintah itu diberitahu
kepada mereka. Maka berkatalah burung-burung itu… ‘wahai malaikat yang
menjaga Arasy Allah, kami boleh mendiamkan diri kami tetapi dengan satu
permintaan’. Bertanya malaikat ‘Apakah permintaan itu?’.. Berkata
burung-burung itu’ Jika Allah ampunkan dosa-dosa orang yang mengucapkan
kalimah Lailahaillallah sehingga terciptanya aku,
barulah aku akan tidak membuat bising disini’. Berkata malaikat itu,
‘Baiklah aku akan sampaikan kepada Allah’. Beredarlah malaikat dan
menyembah Allah dan disampaikan permintaan tadi kepada Allah. Maka Allah
yang maha pengasih lagi maha penyayang menerima permintaan tersebut.
Malaikat pun pergi berjumpa dengan burung-burung itu dan mengatakan
bahawa Allah telah menerima permintaan mereka. Maka dengan segera
mereka tidak membuat bising dan mereka bergantungan di Arasy Allah
sambil berzikir dan memohon keampunan untuk orang yang mengucap
Lailahaillallah tadi sehingga hari kiamat. Oleh itu kita manusia
sepatutnya tidak melepaskan peluang yang diberi oleh Allah itu. Dengan
hanya mengucap kalimat yang disukai oleh Allah maka balasannya
berterusan hingga hari kiamat. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang.

Khamis, 4 Ogos 2011

Wanita Yang Menolak Perkahwinan


Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antara sebabnya ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup mula berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Justeru itu ramai yang lebih rela menjadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan kerjaya masing-masing.

Kami akan menceritakan tentang kerugian yang dialami oleh wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak.

Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.

Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin.

Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.
Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Perkahwinan:Sunnatullah & prasangka manusia


Allah berfirman: " Dan nikahkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." ( Surah An Nur ayat 32 )

Cuba kita fikirkan sejenak tentang ayat yang mulia ini dan apakah kebenaran ayat ini. Generasi hari ini menganggap bahawa kestabilan ekonomi yang sejajar dengan dunia moden adalah sukatan terhadap kelayakan seorang lelaki untuk berkahwin. Adakah kita tidak yakin dengan Sunnatullah yang Allah janjikan dalam ayat di atas ?

Adakah kita tidak memerhatikan rezeki ibu bapa kita berubah dari tahun ke tahun dan berkadar langsung dengan penambahan adik beradik kita ? Bukankah dari segi logik akal , semakin banyak adik beradik semakin sempit hidup ? Mengapa kurniaan yang kita nikmati hari ini sangat bercanggahan dengan logik akal itu ? Adakah sama ekonomi ibu bapa kita dan atuk nenek kita kini berbanding puluhan tahun lepas jika mereka orang yang tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat ? Kita tahu semua jawapannya dengan jelas.

Kita telah menjadi saksi terhadap perjalanan hidup kita dan juga menjadi saksi terhadap perjalanan hidup ibu bapa kita jika mereka orang yang beriman. Kalaulah kebenaran itu sudah di depan mata dan bukti sunnatullah dari nas Quran sudah dibentang, mengapa kita perlu menokok tambah teori perkahwinan dan hukum pernikahan yang tidak berasal dari Allah dan Rasul lalu menganggapnya sebagai baik ? Jika kita merasakan akal kita pintar, semestinya kepintaran itu dibuktikan dengan kita menganggap pencipta akal itu lebih pintar berbanding kita. Maka pilihan yang paling tepat dan waras ialah meyakini janji-janji Allah sebagai pencipta sekalian alam.

Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi siapa yang dikehendaki-Nya), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Surah As Saba ayat 36 )

Menariknya Allah mengatakan " kebanyakan manusia tidak mengetahui ". Mengapa kebanyakan manusia tidak mengetahuinya dan hanya sedikit yang menyedarinya ? Kerana kebanyakan manusia menjangkakan rezekinya hanya daripada gajinya sebagai jurutera, doktor, peguam dan lain-lain. Jika Allah menghalang rezeki itu dari sampai kepada majikannya, kepada siapa lagi boleh mereka meletakkan pengharapan selain daripada Allah ? Kebanyakan manusia menjangkakan bahawa dia boleh menjadi senang dengan bekerja di sektor kerajaan dan mereka menghitung-hitung wang pencen yang bakal mereka terima 40 tahun akan datang seperti mereka yakin mereka dapat hidup tanpa mati sehingga waktu mereka menerima wang tersebut. Tahanlah kematian sebelum pencen jika mereka orang-orang yang benar !

Kita memuji wanita-wanita yang bernikah muda ketika keperluan nikah datang kepada mereka. Adakah kita masih tidak sampai ke tahap perlunya nikah di zaman yang serba mencabar ini ? Syabas buat wanita yang bernikah muda atau atau yang sedang merancang dengan bertunang . Kalian membuat keputusan yang meningkatkan kemuliaan dan maruah kalian di sisi Allah. Biarlah apa sahaja tuduhan yang dilontarkan kepada kalian. Paling tidak kalian berjaya membuktikan takutnya kalian kepada Allah dengan mengambil keputusan untuk bernikah. Untuk apa kalian bernikah jika bukan kerana takut kepada azab Allah ?

Bagi mereka yang menghalangi dan menyusahkan perkahwinan dengan teori akal dan adat, mengapakah mereka menganggap pernikahan itu suatu yang lucah sehingga setiap pelakunya perlu diuji dan diberi banyak halangan ? Mengapakah pelaku nikah itu dianggap sedang " gatal hendak berkahwin " ? Tidakkah pernikahan itu ibadah dan tidakkah perbuatan menyusahkan perkahwinan itu sama dengan perbuatan menyukarkan perjalanan seseorang ke masjid ?

Bagi wanita yang ingin meneruskan hasrat murni ini, bulatkan tekad, kuatkan azam dan bertawakkal lah kepada Allah yang menciptakan kalian dari jiwa yang satu ( Adam ). Sesungguhnya Sunnatullah di muka bumi itu lebih besar dari setiap teori akal manusia. Sunnatullah pasti akan berjalan seperti yang dijanjikan sekalipun cuba dihalang oleh sekalian makhluk. Tidak mengapa jika kalian diherdik dan dipandang serong oleh makhluk di bumi asalkan kalian dipandang mulia dan diredhai yang di langit. Insyaallah.

Selasa, 2 Ogos 2011

Jangan Putus Asa Dari Rahmat ALLAH S.W.T


Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.

Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud:

“Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”. (Lata’if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.

Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.

Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.

Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta Ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta Ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman, maksudnya:

Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (ali-’Imran: 164)

Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.

Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah,

Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (al-Ankabut: 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… (al-Zumar: 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta Ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta Ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud:

Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28). Wallahu a’lam.

Isnin, 1 Ogos 2011

Tingkatan puasa


Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, tingkatan puasa diklasifikasi menjagi tiga, yaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus lagi.

Puasa umum adalah tingkatan yang paling rendah yaitu menahan dari makan, minum dan jima'. Puasa khusus, di samping menahan yang tiga hal tadi, juga memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Sedangkan puasa khusus yang lebih khusus adalah puasa hati dari segala kehendak hina dan segala pikiran duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah.

Puasa level ketiga tadi adalah puasanya para nabi-nabi, shiddiqin, dan muqarrabin. Sedangkan puasa level kedua adalah puasanya orang-orang salih - puasa tingkat ini yang seharusnya kita tuju untuk mencapainya.

Selanjutnya imam Al Ghazali menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu. Pertama, menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa meninggalkan pandangan karena takut kepada Allah, niscaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya.

Kedua menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Alquran. "Dua perkara merusakkan puasa," sabda Rasulullah SAW, "Yaitu mengumpat dan berbohong."

Ketika, menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik, karena tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah SAW menjelaskan: Yang mengumpat dan yang mendengar, berserikat dalam dosa. Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.

Kelima, tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat memetik manfaat dan hikmah puasa. Bagaimana dia berusaha mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika saat berbuka dia justru memanjakan nafsunya dengan makanan yang terhitung banyak dan jenisnya.

Keenam, hatinya senantiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), karena tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan, sedangkan penuh harap berperanan dalam menumbuhkan optimisme.

Fadilat & keistimewaan bulan Ramadhan


Pintu langit dibuka.
Pintu-pintu syurga dibuka.
Bulan yang penuh keberkatan.
Salah satu malamnya adalah lebih baik dari seribu bulan.
Ganjaran amalan sunat sama dengan solat fardhu.
Solat fardhu mendapat ganjaran 70 kali ganda.
Bulan kesabaran dan pahalanya adalah syurga.
Bulan menambah rezeki.
Bulan keampunan - doa yang paling makbul iaitu doa ketika sebelum berbuka puasa dan doa pada sepertiga malam.

10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan adalah pengampunan dan 10 hari terakhir adalah kemerdekaan dari api neraka.

* Umar ibnul Khathab r.a. berkata, "Orang yang berdzikir kepada Allah pada bulan Ramadhan akan diampuni dosa-dosanya; dan yang memohon kepada Allah pada bulan Ramadhan tidak akan kecewa.

* Puasa mengatur keseragaman ummat. Selama Ramadhan, umat berseragam dalam sahur dan berbuka, dalam bekerja dan beristirahat, serta dalam shalat, istighfar, dan bertobat kepada Allah. Lidahpun seragam dalam bertakbir, bertasbih, dan bertahmid sehingga tercegah dari kata-kata buruk dan menyakiti orang lain, menjauhi perbuatan keji dan munkar, mengisi hati dengan cinta kasih kepada sesama hamba Allah, selalu baik dan bersih lahir bathin, serta sabar meng- hadapi segala macam kesulitan hidup. (ulama)

* Imam Al Ghazali berkata, "Betapa banyak orang berpuasa yang sebenarnya berbuka, dan yang berbuka padahal ber-puasa. Yang berbuka tetapi sebenarnya berpuasa adalah yang makan dan minum, tetapi menjaga seluruh anggota tubuhnya dari perbuatan dosa. Dan yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka adalah yang lapar dan haus, tetapi tercemar anggota tubuhnya (dalam perbuatan dosa).

Iblis menceritakan tentang puasa di bulan ramadhan


Rasulullah s.a.w. ada menyoal Iblis tentang puasa di bulan Ramadhan,jawab Iblis, "Ya Rasulullah! Inilah satu bencana yg amat besar bagiku.Bila tibanya bulan ini akan bersinarlah cahaya di Arasy serta Kursi dan semua malaikat bersukaria.Bagi mereka yg berpuasa akan mendapat kurnia yg besar dari ALLAH.Dosa mereka akan diampuni dan digantikan dengan pahala kebajikan serta tidak akan ditulis kesalahan mereka selama berpuasa." "Yg lebih menyakitkan hatiku ialah semua isi langit dan bumi serta semua makhluk yg bernyawa sentiasa mendoakan mereka siang dan malam memohon keampunan.Bagi mereka yg berpuasa juga akan dimerdekakan oleh ALLAH setiap hari dari Ramadhan dengan seribu kemerdekaan dari azab neraka serta semua pintu neraka akan ditutup dan dibukakan semua pintu syurga.Pada hari bermulanya umatmu berpuasa,datanglah para malikat kepadaku dengan garangnya lalu menangkap aku bersama dengan bala tentera aku yg terdiri dari jin,syaitan dan ifrit." "Dipasangkan pada kaki dan tangan kami dengan rantai besi panas lalu dimasukkan kami ke dalam perut bumi yg paling bawah sekali.Disini kami mendapat berbagai azab siksaan dan terpaksa menunggu sehingga umatmu selesai mengerjakan puasa.Selepas itu barulah kami dibebaskan ini supaya umatmu merasa kesenangan dalam mengerjakan ibadat puasa." Begitulah cerita Iblis kepada Rasulullah,amatlah ruginya kita jika tidak mengambil kesempatan ini dikala semua bangsa jin dan syaitan telah dirantai oleh ALLAH S.W.T.